Doktor menyuruh kita mengamalkan makanan seimbang dan bersenam untuk kekalkan kesihatan atau mengembalikan kesihatan kita yang sudah terjejas. Kita perlu mengambil makanan seimbang agar kita mendapat zat-zat dan nutrien yang diperlukan oleh tubuh kita untuk kekalkan kesihatan atau memulihkan tahap kesihatan yang sudah menurun atau terjejas.
Dapatkah kita mengamalkan pemakanan atau diet seimbang seperti yang disarankan?
Saya cuba analisa pola pemakanan saya semasa hari berkerja untuk tengok sama ada saya dapat memenuhi keperluan tersebut:
Sarapan: Nasi/bihun goreng + telor goreng/ayam goreng atau nasi lemak dengan telor goreng/kerang/paru-paru goreng/sotong/sambal ikan bilis.
Makan tengahari: Nasi dengan satu jenis sayur + 1 ekor ikan/1 ketul ayam/1 senduk daging. Buah? Selalunya tidak dijual di kantin, kalau nasib dapatlah tembikai, betik, nenas atau tembikai susu. Kalau ada, ambillah sepotong.
Makan malam di rumah, tiada banyak bezanya. Nasi bersama satu/dua jenis lauk dan satu jenis sayur. Kadang-kadang tak da sayur.
Nampaknya pola pemakanan harian saya tidak memenuhi keperluan pemakanan seimbang.
Menurut garis panduan pemakanan Kementerian Kesihatan (rujuk grafik piramid makanan di atas), kita perlu makan 4-8 hidangan bijirin seperti nasi, gandum, jagung. Boleh juga ambil ubi. Sekurang-kurangnya setengah dari bijirin yang diambil mestilah bijirin penuh; kalau nasi – beras coklat, kalau roti – dari gandum penuh. Nasihat KKM, bila masak nasi, campurkan beras putih dengan beras coklat 50-50. Kalau tak nak, 50% dari karbohidrat kita mestilah dari roti/makanan yang diperbuat dari gandum penuh.
Kita juga kena ambil sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran atau 2 hidangan buah-buahan. Makanan ini dikaitkan dengan pengurangan risiko mendapat diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan kanser. Garis panduan tersebut juga menasihatkan kita supaya mengambil daging, makanan laut dan ikan secara sederhana. kita dinasihatkan supaya lebih memakan ikan. Hasil tenusu – 1 hingga 3 hidangan sehari.
Garam, gula, minyak dan lemak? Semua orang tahu, kena kurangkan. Tapi kalau dah makan kat luar, banyak mana mereka taruh manalah kita tau. Yang pasti, bukan sedikitlah.
Dapatkah kita penuhi keperluan pemakanan seimbang? Kalau hari-hari makan di kantin tempat kerja, atau makan kat luar, nampaknya tak dapatlah. Kenalah bawa bekal dari rumah. Kalau tak boleh juga penuhi keperluan makanan seimbang, dan masih ingin kekalkan kesihatan yang unggul, kenalah ambil pemakanan tambahan.
Kebaikan Buah dan Sayur Ungu
Bila bercakap tentang amalan pemakanan sihat, jangan lupa untuk memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna ungu dalam diet anda. Sebabnya buah-buahan dan sayur-sayuran tersebut mengandungi antosianin, ia-itu pigmen asli berwarna merah, biru dan ungu. Menurut J. Scott Smith, profesor kimia makanan dari Kansas State University, antosianin adalah baik untuk kesihatan kerana ia adalah antioksidan yang kuat dan boleh meningkatkan fungsi sistem imun, mengekalkan kesihatan dan mengelakkan penyakit.
"Kini antioksidan menjadi bualan ramai," kata Smith lagi. "Semua orang berminat dengan antioksidan kerana ia dipercayai baik untuk kesihatan."
Antosianin lebih lazim didapati dari buah-buahan berbanding sayur-sayuran, kata Smith, memerhatikan warna merah pekat dan ungu pada kulit epal dan anggur. Disebabkan antosianin sensitif kepada pH, ia akan kelihatan lebih merah atau biru bergantung kepada jenis makanan.
Antosianin biasa terdapat dalam buah beri; seperti blueberry, cranberry, raspberry, blackberry dan anggur merah (dan juga acaiberry, elderberry dan buah delima*).
"Itu sebablah mengapa orang berkata 'makan buah beri anda', kerana ia sangat baik untuk kesihatan," kata Smith.
Kata Smith lagi, ekstrak makanan yang mengandungi antosianin juga baik untuk kesihatan. Trend terkini industri makanan adalah menggunakan warna asli bagi menggantikan warna tiruan. Antosianin boleh diekstrak dari buah-buahan atau sayur-sayuran dan digunakan sebagai pewarna asli dalam makanan.
Wain merah diperbuat dari anggur, oleh itu ia juga mengandungi antosianin. Selain itu ia juga mengandungi resveratrol, sejenis antioksidan dan baik untuk kesihatan jantung.
Menurut Smith lagi, terdapat beberapa makanan ungu yang tidak begitu dikenali juga mengandungi antosianin. Sejak berkurun penduduk Amerika Selatan menanam jagung ungu. Terdapat juga bunga kubis ungu dan karot ungu.
Warna merah pekat dan ungu pada ubi bit bukan disebabkan oleh antosianin, kata Smith. Warna ungu pada ubi bit datangnya dari pigmen betalen, yang menggantikan antosianin dalam sesetengah pokok. Betalen juga adalah antioksidan yang baik untuk kesihatan
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan