HUBUNGAN
SESAMA ISLAM
Maksud Hadis Hurairah r.a. berkata
Rasulullah s.w.t. bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan
janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berbenci-bencian, dan
janganlah kamu berbelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di
atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hai hamba Allah
bersaudara."
Orang Islam bersaudara orang Islam, tiada
boleh ia menganiayanya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tiada
boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakannya.
Taqwa itu di sini kata nabi , sambil
menunjuk dadanya tiga kali. Sudah cukup banyak kejahatan seseorang itu, bahawa
ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekalian orang Islam ke atas orang Islam
haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya. Diriwayatkan oleh
Muslim.
SYARAHANNYA :
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim dari Abu
Hurairah. Selain Muslim lagi hadis-hadis riwayat yang lain daripadanya yang di
antara kandungannya ada sebagaimana yang diterangkan dalam hadis
tersebut.
NILAINYA :
Hadis ini mengandungi nilai utama dalam soal
persaudaraan Islam, di mana ditegaskan secara perintah akan larangan-larangannya
yang tiada boleh dilanggar demi untuk pemeliharaan suasana persaudraan
itu.
Perkara yang mengenal hubungan di antara
orang Islam :
1. Beberapa Perintah
Larangan
Pada hadis tersebut Rasullah ada
menerangkan perkara yang mengenai hubungan di antara orang Islam. Untuk
memelihara hubungan ini ditegaskan beberapa perintah yang merupakan larangan
yang wajib dipatuhi ; iaitu janganlah kamu berdengki-dengkian di antara sama
sendiri. Kerana dengan dengki atau hasad menyebabkan terputusnya
hubungan.
Dengki ialah satu perasaan jiwa
yang timbulnya perasaan itu pada seseorang oleh kegelisahannya memandang
kelebihan yang ada pada orang lain atau oleh kebenciannya melihat ada orang yang
melebihinya dalam sesuatu perkara atau keadaan.
Orang yang dengki atau hasad
selamanya gelisah, jiwanya tidak tenteram, kerana ini dia berusaha untuk
menghilangkan suatu kelebihan yang ada pada orang lain dengan perkataannya atau
dengan perbuatannya dan berikhtiar untuk memindah sesuatu kelebihan yang ada
pada orang lain itu kepada dirinya sendiri. Dan ada pula orang yang dengki itu
berusaha untuk menghilang atau mencedera suatu kelebihan dari orang yang
mempunyai semata-mata kebencian yang melulu, kerana dia sendiri tidak berhajat
kelebihan itu untuk dirinya. Kedua macam kedengkian tersebut adalah tercela dan
inilah perasaan kedengkian yang sejahat-jahatnya yang pernah digunakan oleh
Iblis terhadap nabi Allah Adam a.s sehingga baginda dikeluarkan dari tempat
kediamannya dalam syurga.
Sementara itu ada pula sejenis
perasaan dengki atau hasad yang terbunuh dalam jiwa seseorang, tetapi dia
berdiam diri, tidak ada usahanya yang jahat sama ada dengan perkataannya mahupun
dengan perbuatannya untuk menumpas suatu kelebihan orang lain. Hasad seperti ini
diharap tiada menyebabkan dosa, sebagaimana sabda Rasul yang bermaksud
:
"Tiap-tiap anak Adam ada
hasadnya, dan tiada mendatangkan kemudaratan kepada orang hasad oleh hasadnya
selama ia tiada pernah bercakap lidah atau berbuat dengan tangan."
Seterusnya ada lagi sejenis
perasaan hasad yang terbunuh dalam jiwa tetapi segera dilenyapkan serta
ditumbuhkan perasaan cinta kepada orang yang mendapat kelebihan dan didoa supaya
ia dalam selamat dan sejahtera. Inilah satu-satunya perasaan yang membuktikan
kesuburan iman yang dipuji.
Setelah Rasullullah menerangkan
larangan dengki atau hasad, maka diterangkan pula larangan bertipu-tipuan dan
berbencian dengan sabdanya yang bermaksud :
" Janganlah kamu bertipu-tipuan dan
janganlah kamu berbenci-bencian di antara kamu."
Larangan bertipu-tipuan ialah
melarang seseorang menaikkan harga barang-barang padahal dia sendiri tidak mahu
membelinya untuk menyusahkan orang lain. Perbuatan ini adalah haram. Masuk juga
kepada larangan ini segala perbuatan tipu atau kecoh dalam jual beli.
Larangan benci-bencian ialah
melarang seseorang membenci dengan menghina orang lain semata-mata menurut
dorongan hawa nafsu yang angkuh dan sombong. Perbuatan ini melenyapkan perasaan
kasih sayang di antara seorang dengan saudaranya padahal perasaan ini wajib
dipelihara dan dipupuk dengan semangat cinta sebagai orang yang percaya kepada
Allah. Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud ;
" Tidak akan kamu masuk
syurga sehingga kamu beriman. Dan tidak (dikata) buat akan dia nescaya kamu
berkasih-kasih. Iaitu syiarkanlah Islam di antara kamu."
Kemudian Rasullullah menerangkan
larangannya dengan sabdanya ; "Janganlah kamu berbelakang-belakangan atau
berpaling-palingan ialah melarang perbuatan ini dilakukan oleh seorang
semata-mata oleh perkara dunia. Pada hadis yang lain sebagaimana yang disebut
dalam hadis Bukhari dan Muslim, Rasullullah S.A.W. menerangkan :
"Tiada halal bagi seorang Islam
bahawa ia meninggal saudaranya (tiada menegurnya) lebih dari tiga hari, bila
keduanya bertemu maka yang seorang ini berpaling dan yang seorang itu pula
membelakangi. Dan orang yang lebih baik dari keduanya ialah orang yang memulakan
dengan ucapan salam ."
Dan lagi hadis yang lebih keras
ancamannya iaitu :
"Barangsiapa meninggalkan
saudaranya (tiada menegurnya kerana musuhinya) selama setahun maka ia seperti
menumpah darahnya."
Larangan menjual di atas
penjualan ialah melarang perbuatan itu dilakukan, kerana akibatnya adalah
membawa kepada benci-bencian di antara sesama sendiri. Contohnya : Seperti dua
orang yang membeli itu seraya berkata : "Batalkan pembelian engkau ini, aku
sanggup menjual kepada engkau barang yang lebih baik mutunya dengan harganya
lebih murah dari barang yang engkau beli itu. "
Demikian pula dilarang membeli
di atas pembelian orang lain. Contohnya : seperti seorang datang kepada orang
yang menjual lalu berkata : "Batalkan penjualan engkau ini. Aku dapat membelinya
kelak dengan harga yang lebih tinggi. "
Termasuk kepada larangan ini orang yang
menawarkan barang-barangnya kepada seorang yang lain, padahal pada waktu itu ada
orang yang sedang menawarnya untuk membelinya. Rasullullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud :
"Tiada menjual seorang lelaki di
atas penjualan saudaranya dan tiada meminang di atas pinangan saudaranya kecuali
jika ia izin kepadanya."
Larangan tersebut sebagaimana
yang diterangkan oleh hadis adalah am meliputi kepada orang Islam dan kepada
orang kafir, demikian menurut pendapat kebanyakan fuqaha kecuali Imam Ahmad dan
orang ramai yang mengatakan larangan itu adalah khas kepada orang Islam tidak
kepada orang kafir.
Setelah diterangkan segala
larangan ini satu persatunya, maka Rasullullah dijelaskan pula keadaan orang
Islam dalam pergaulan dengan sabdanya :
Sabdanya ini memberi suatu petunjuk jiwa.
Jika mereka mematuhi sepenuhmya segala larangan itu, maka terwujudlah kasih
mesra sebagai saudara yang senasib bertanggungjawab untuk kesejahteraan bersama
sesuai dengan pengajaran Islam.
2. Orang Islam Saudara Orang
Islam
Kemudian Rasullullah menerangkan
selanjutnya keadaan sifat orang Islam. Orang Islam adalah saudara orang Islam.
Yang demikian, tiadalah boleh dianiayainya, tiada boleh dibiarkannya, tiada
boleh didustainya, juga tiada juga dihinanya. Larangan ini wajib dihormati untuk
memelihara perpaduan di antara orang Islam yang di akui sebagai
saudara.
Orang Islam tiada boleh menganiaya orang
Islam, kerana penganiayan bertentangan dengan keperibadiaanya sendiri. Tetapi
orang Islam wajib membantu menghindarkan penganiayaan itu serta menolong
saudaranya yang berbuat penganiayaan dan saudaranya yang dianiaya ; dan tiada
boleh ia membiarkan saudaranya dalam kehinaan dilakukan teradapnya tetapi
dikehendaki berikhtiar sekadar yang mungkin bagi melaksanakannya. Mengenai hal
ini Rasullullah S.A.W bersabda yang bermaksud :
"Tolonglah saudara engkau, yang
berbuat zalim atau yang dizalimi. Ia berkata : Ya Rasullullah ! Aku pernah
menolong orang yang dizalimi, maka bagaimana agaknya aku hendak menolong orang
yang zalim. Ia bersabda : Engkau tegah ia dari melakukan kezaliman, maka yang
demikian itu bererti engkau menolong akan dia"
Pada hadis yang lain Rasullullah
S.A.W pernah menyatakan "Bahawa barangsiapa yang tiada mahu menolong seseorang
mukmin yang dihinakan orang disisinya padahal dia mampu menolongnya, akan
dihinakan dia oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat.
Sebaliknya pula, orang yang menolong saudaranya dengan cara yang tersembunyi
dalam perkara yang ia dapat menolongnya akan ditolongi Allah akan dia dalam
dunia dan akhirat.
Juga orang Islam tiada boleh
mendustakan saudaranya orang Islam kerana pendustaan menyebabkan hilangnya
perasaan kepercayaan. Lebih-lebih lagi pendustaan itu dipercayai oleh
saudaranya. Pendustaan seperti ini adalah suatu perkara pengkhianatan,
sebagaimana sabda Rasullullah : "Besarlah pengkhianatan bahawa engkau
menceritakan kepada saudara engkau suatu cerita yang ia percaya kepada engkau,
padahal yang sebenarnya engkau berdusta kepadanya."
Demikian pula orang Islam tiada
boleh menghinakan saudaranya orang Islam sama ada dengan perkataan atau tingkah
lakunya. Sebab penghinaan bukanlah sikap yang baik dalam persaudaraan, malah
sikap inilah yang menimbulkan perbezaan pandangan seseorang dalam pergaulan, dan
tumbuhnya adalah dari perasaan sombong yang terselit di hati ; iaitu perasaan
memandang kepada diri dengan pandangan yang mulia dan sempurna tidak sebanding
dengan orang lain yang dianggap hina susah menderita.
Setelah itu Rasullullah S.A.W
mengatakan "Taqwa itu di sini…..sambil menunjukkan ke dadanya sebanyak tiga
kali. Ini adalah memberi isyarat atau petunjuk bahawa kemuliaan manusia di sisi
Allah bukanlah dengan cara berlagak, menunjuk diri atau meninggi-ninggi darjat,
peribadi, tetapi adalah dengan sifat taqwa, yang mengeluarkannya amal utama dan
budi mulia, sekalipun orang taqwa itu dipandang hina dan dikeji."
Akhirnya oleh Rasullullah S.A.W. dijelaskan
pula bahawa sudah cukup banyak kejahatan seseorang jika ia merendahkan atau
menghinakan orang Islam dengan cara merosakkan keselamatan badannya atau
menjatuhkan maruah atau kehormatan atau dengan apa sahaja yang dipandang tiada
sopan di luar garisan perikemanusiaan. Dan perbuatan seperti ini adalah haram di
atas orang Islam melakukannya, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis
tersebut.
Demikianlah beberapa larangan Rasullullah
S.A.W kepada setiap orang Islam untuk memelihara kemurnian hidup persaudaraan
yang tiada dibatasi oleh kekeluargaan, oleh warna kulit dan keturunan dan oleh
kedudukan. Mereka adalah sebagai satu kaum keluarga, satu jiwa, satu hati, satu
akidah dan satu ibadat, satu hala dan satu tujuan, satu tempat datang dan satu
pula tempat pergi, sakit sama merasa sakit dari senang sama merasa syukur.
Benarlah apa yang digambarkan Rasullullah S.A.W dalam sabdanya yang terkenal :
"Bandingan orang-orang mukmin dalam bercinta-cinta mereka dan berkasih sayang
mereka dan bertolong-tolongan mereka seperti bandingan satu badan : Apabila
sakit satu anggota daripadanya tertariklah sekalian anggota (hingga) tiada dapat
tidur dan demam."
Pada hadis yang lain dijelaskan bahawa
"Seorang mukmin bagi seorang mukmin itu satu binaan yang sebahagiannya
menguatkan sebahagian dan orang Islam itu seperti satu badan jika sakit matanya
sakitlah sekaliannya dan jika sakit kepalanya sakitlah sekaliannya."
PETUNJUKNYA :
Bahawa di antara yang ditunjuk oleh hadis
yang ketiga puluh lima ini ialah :
1. Hadis ini menunjukkan secara
tegas bahawa Rasullullah S.A.W melarang setiap orang melakukan sebarang
perbuatan yang mencederakan atau merosak kehormatan saudaranya dari orang Islam.
Sebab orang Islam mempunyai kemuliaan dan kehormatan peribadinya, harta miliknya
dan maruahnya atau nilai hidupnya, larangan yang ditegaskannya itu ada sebanyak
sembilan perkara dalam bidang pergaulan umum dan hubungan perniagaan yang
kesemuanya merupakan suatu petunjuk yang sangat berguna kepada orang Islam di
segala tempat dan zaman.
2. Juga menunjukkan bahawa orang
Islam dalam dunia ini adalah bersaudara kerana ini mana diharamkan ke atas
setiap orang Islam mengerjakan suatu yang bertentangan dengan hak persaudaraan
itu. Rasullullah dalam hadis tersebut menegaskan perintahnya mengenai hal
persaudaraan tersebut iaitu : "Berkata Al-Khurtabi, bahawa erti sabdanya ialah :
"Hendaklah kamu menjadi sebagai orang-orang yang bersaudara persaudaraan satu
darah keturunana yang diikat oleh rasa sayang, saling cinta menyintai,
nasihat-menasihati, bantu membantu serta bertimbang rasa."
Inilah di antara petunjuk hadis
yang sangat patut diambil perhatian oleh setiap orang Islam untuk memelihara
keteguhan dan keutuhan perpaduan dalam hubungan persaudaraan kerana dengan
pemeliharaan ini wujudlah perasaan muhibbah diselubungi oleh suasana aman
damai.
Dan inilah pula dasar
persaudaraan Islam yang diasas di atas tuntutan agama, serta dipelihara dengan
semangat pengajarannya dalam mana perasaan muhibbah yang sejati menjadi
terasnya. Maka dengan semangat ini terdapatlah saling hormat menghormati,
bantu-membantu, berusaha untuk mewujudkan kebaikan, menghindarkan kejahatan dan
ini pula yang menjadi amalan hidup seseorang dalam masyarakatnya. Andaikata,
oleh suatu hal seorang itu tidak dapat melaksanakan amalan ini, maka hendaklah
dia hidup berdiam diri, tak usahlah mengganggu atau menyusahkan orang lain.
Ikutilah pengajaran ini : "Hendaklah engkau pelihara tiga perkara yang menjadi
habuan orang mukmin iaitu :
Pertama, jika engkau tidak
dapat memberi manfaat kepadanya maka janganlah engkau menyusahkan
dia.
Kedua, jika engkau tidak mahu
menyukakan dia maka janganlah engkau mendukakan dia dan ;
Ketiga, jika engkau tidak
hendak memuji dia maka janganlah engkau mencela dia Wallahhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan